Wednesday, February 07, 2007

Feb datang lagik

ni entry pertama aku di bulan Feb, aku ni sememang malas dan yg paling ketara aku kurang pandai bercerita cam bloggers lain..tu pasall la kejap tengelam kejap menjenguh...
dan minggu ni jerk banyak masa aku habiskan merayau2 cam hantu raya mencarik tuan jerk...sonok aku baca blog depa tu...menarik dan tertarik dr segi layout, bahasa dan jalan penulisan...takyah le aku listkan disini blog mana aku nyangkut..hikkhikk...



ni aku terima kat inbox aku

Tajuk soal jawab kali ini : ISTERI yang berkecil hati

Tanya : Apakah langkah yang harus diambil oleh suami sekiranya si isteri berkecil hati?

Jawab : Jika seorang isteri telah berkecil hati maka Islam sangat menuntut supaya pihak suami bersegera memujuk isterinya itu dengan perkataan-perkataan yang baik yang sangat ingin didengar oleh isteri. Dan jika itu disebabkan kesalahan suami maka suami hendaklah meminta maaf atas kesalahannya itu. Dan jangan dibiarkan isterinya itu berterusan berkecil hati kerana syaitan itu sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan rumahtangga orang-orang yang beriman. Dan bagi pihak isteri hendaklah bersabar dan jangan menurut kehendak hatinya dan hendaklah sentiasa mahu melakukan yang baik bagi suaminya


Cincin sebagai mahar
Tanya : Apakah hukumnya seseorang itu menjadikan cincin sebagai sebahagian daripada mahar (mas kahwin)?

Jawab : Hukumnya adalah harus dan menjadi sebahagian daripada adat umat Islam menjadikan cincin sebagai tanda pertunangan dan mahar. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisa ayat 20: "dan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka (wanita yang dikahwini) dengan mahar yang banyak.


"Kiffarah zihar
Tanya : Apakah kiffarah zihar?

Jawab : Zihar bererti 'ucapan suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau mahramnya dalam perkara-perkara yang haram' seperti berkata si suami kepada isterinya:"Belakang engkau seperti belakang ibuku atau peha engkau seperti peha ibuku." Perkataan begini adalah HARAM. Imam-imam mazhab telah sepakat mengatakan bahawa zihar ini adalah haram dengan bersandarkan kepada nas Al-Quran dan ijma' bahawa zihar itu mewajibkan kiffarah(denda) iaitu: Memerdekakan seorang hamba. Jika tiada hamba wajib berpuasa 2 bulan berturut-turut. Jika tidak berdaya setelah berusaha dia boleh memberi makan 60 orang miskin, setiap seorang dengan secupak daripada makanan yang mengenyangkan. Jika tidak dibayar kiffarah itu maka haram baginya jima' dengan isterinya


Lelaki Memakai Inai
Tanya : Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai inai di jarinya dan memakai cincin perkahwinan?

Jawab : Hukum memakai inai sebagai tanda perkahwinan adalah haram bagi pengantin lelaki tetapi harus hukumnya bagi pengantin perempuan. Memakai cincin perkahwinan adalah harus bagi kedua-dua pengantin tetapi haram bagi lelaki memakai cincin emas. Lelaki Memakai Emas Putih (White Gold) Bolehkah seorang lelaki itu memakai 'white gold' yang bertaraf 18KT? 'White gold' walaupun ia bertaraf 18KT ia tetap emas. Yang membezakannya dengan emas biasa ialah warnanya. Sekalipun emas tersebut bercampur dengan Platinum, samada emas tersebut melebihi 50% atau kurang dari 50% dan mudah dipisahkan dari logam lain atau jelas pembahagiannya, ia juga tetap haram dipakai oleh kaum lelaki. Apa yang boleh dipakai oleh kaum lelaki ialah Platinum yang semata-mata logam yang dinamakan Platinum atau campuran logam yang tidak mengandungi emas sama sekali. Ia adalah harus dipakai.



Tanya : Apa hukumnya seseorang itu memakai tattoo dan adakah sah dia mengambil wudhu'?
Dan adakah sah jika seorang wanita bernikah dengan seorang lelaki yang memakai tattoo?

Jawab : Hukum memakai tatto adalah haram berdasarkan hadith Rasulullah yang bermaksud bahawa Allah melaknat orang yang melukis (tattoo) atas badannya. Mereka yang sudah sedar dan kembali bertaubat hendaklah berusaha menghilangkan tattoo tersebut. Jika dengan menghilangkan tattoo tersebut (samada dengan kimia atau laser atau sebagainya) mendatangkan mudharat yang lebih besar, maka tidak perlu menghilangkan tattoo tersebut. Hukum mengambil wudhu' atas anggota badan yang ada tattoo adalah sah kerana tattoo di bawah kulit, bukan di atasnya. Seorang lelaki dan wanita yang bernikah dengan tattoo di badan dianggap sebagai sah pernikahan mereka.


Tanya : Orang Islam menganggap bahawa alkohol yang ada pada wangi-wangian itu adalah najis. Adakah benarkah pendapat ini?

Jawab : Benar atau tidaknya pendapat ini bergantung dari mana asal alkohol itu. Sekiranya alkohol itu berasal dari arak ia adalah najis dan wangi-wangian itu juga dikira najis. Jika alkohol itu merupakan pati atau spirit dari bunga-bunga atau sebagai ibu daripada benda yang tidak najis ianya adalah harus digunakan.



Tanya : Bolehkah seseorang itu mengerjakan umrah dan mengaqiqahkan anak-anaknya jika dia masih mempunyai fidyah yang belum diselesaikan?

Jawab : Adalah lebih baik baginya menyelesaikan fidyah tersebut sebelum mengerjakan umrah dan mengaqiqahkan anak-anaknya kerana membayar fidyah puasa adalah wajib manakala umrah dan aqiqah merupakan sunat sahaja.


Tanya : Adakah diwajibkan seorang wanita yang mandi junub membasahkan seluruh rambutnya?

Jawab : Mandi junub merupakan mandi wajib yang mana seseorang itu perlu meratakan air pada seluruh tubuh badan untuk membersihkan dirinya dari hadas besar dengan membasuh seluruh tubuh mulai dari atas kepala hingga ke hujung kaki. Salah satu dari rukun mandi ialah meratakan air ke seluruh rambut dan kulit. Untuk berbuat demikian, WAJIBLAH dibasahkan seluruh rambutnya dan bukan sebahagiannya.


Tanya : Mandi Hadas. Apa hukumnya jika seseorang itu berhenti seketika dari mandi hadas kerana sesuatu keperluan?

Jawab : Jika seseorang itu berhenti seketika dari mandi hadas kerana sesuatu keperluan dia boleh menyambung semulanya mandinya itu selepas melaksanakan keperluan tersebut. Akan tetapi hendaklah dia pastikan air di badannya itu masih belum kering sebelum dia sambung semula mandinya. Jika air di badannya sudah menjadi kering kerana terlalu lama maka diwajibkan ke atasnya untuk memulakan mandinya dari awal.



Tanya : Membaca Al-Quran Ketika Haid. Bolehkah seorang wanita yang di dalam keadaan haidh membaca al-Quran?


Jawab : Masalah membaca al-Quran bagi wanita yang berada dalam keadaan haidh merupakan masalah khilafiah di kalangan ulama. Jumhur ulama termasuk Ulama Mazhab Syafi'e menyatakan haram bagi wanita yang berada dalam keadaan haidh membaca al-Quran. Mereka berhujjah dengan Hadith: "Wanita yang haidh dan orang yang dalam keadaan junub tidak boleh membaca sesuatu ayat daripada al-Quran". Riwayat Imam Tirmidzi. Begitu juga mereka tidak boleh menyentuh atau membawa al-Quran berdasarkan dalil al-Quran, "Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan". (al-Waqi'ah: 79). Meskipun terdapat kebanyakan ulama menyatakan haram, namun terdapat segelintir Ulama berpendapat sebaliknya dan mereka juga ada mengemukakan hujjah-hujjah mereka yang bernas. Walau bagaimanapun di dalam konteks kehidupan di Singapura, perlu berpegang kepada pendapat kebanyakan Ulama dan pendapat Mazhab Syafi'e yang mana pendapat mereka menitik beratkan soal menghormati kesucian al-Quran di samping mengambil jalan berjaga-jaga atau waspada daripada terjerumus kepada perbuatan yang mendatangkan dosa. Jika didapati ada orang yang berpendapat sebaliknya, janganlah menyalahinya dan menuduhnya sudah terseleweng.


Tanya : Wudhu menantu perempuan dgn ayah mertuaAdakah batal air sembahyang seorang menantu perempuan apabila dia tersentuh ayah mertuanya?

Jawab : Tidak. Tidak batal air sembahyang seorang menantu perempuan bila bersentuhan dengan bapa mertuanya.



Tanya : Apakah hukumnya jika seseorang itu, setelah bangun sahur di bulan puasa dan menunaikan solat Subuh tidur untuk satu jam, apabila bangun mendapati dirinya berhadas besar disebabkan mimpi? Adakah batal puasanya untuk hari itu ataupun tidak?


Jawab : Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa. Sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur, dia boleh meneruskan puasanya.



Tanya : Hukum Meninggalkan Solat JumaatApakah hukum meninggalkan solat Juma'at dan hukum solat sunat ketika khatib sedang membaca khutbah?


Jawab : Bersabda Nabi saw. "Barang siapa meninggalkan sembahyang jumaat sebanyak tiga kali nescaya Allah akan menutup hatinya" ertinya tertutup dari menerima perkara-perkara kebajikan.Riwayat oleh Imam Shafie, Ahmad, Hakim, Muslim. Sembahyang jumaat adalah wajib bagi setiap lelaki baligh yang ketiadaan uzur yang diharuskan syarak. Maka meninggalkan perintah yang wajib itu haram lagi berdosa dengan ittifaq sekelian Ulama'. Sunat bagi orang yang baru memasuki masjid mengerjakan sembahyang Tahiyatul Masjid (sembahyang hormat masjid) walaupun khatib sedang membaca khutbah.

No comments: