Monday, July 10, 2006
Bersyukur Jika Rawatan Ini Suits Dengan Amar Amsyar
Rawatan penglihatan kanak-kanak afakia
Oleh Dr. Haliza Abdul Mutalib
10 Julai 2006
14 Jamadil Akhir 1427
Katarak – kelegapan dalam kanta mata yang menyebabkan penglihatan kabur.
--------------------------------------------------------------------------------
AFAKIA adalah satu keadaan di mana mata telah kehilangan kanta kristalin yang asal (ketiadaan kanta mata) melalui pembedahan disebabkan oleh katarak (kanta kristalin berkabut).
Ia boleh berpunca sejak lahir, trauma ataupun bila bayi mempunyai penyakit sistemik. Kebiasaannya, jika dikesan semasa lahir, ia dikenali sebagai katarak kongenital.
Katarak kongenital merupakan opasti atau kekabutan pada kanta kristalin yang boleh menghalang penglihatan. Ia boleh mengakibatkan kekaburan penglihatan yang nyata ataupun secara total.
Katarak kongenital kebiasaannya berlaku pada kedua-dua belah mata (bilateral) manakala katarak yang disebabkan oleh trauma selalunya berlaku pada satu mata (unilateral).
Sekiranya katarak tidak dapat dikesan awal, ia boleh menyebabkan deprivasi/halangan penglihatan pada bayi. Ini berlaku disebabkan oleh pengurangan stimulus untuk penglihatan sehinggakan bayi mengalami tahap penglihatan yang rendah.
Komplikasi penglihatan yang dapat berlaku akibat pengurangan stimulus penglihatan di awal usia adalah ambliopia (mata malas), nistagmus (mata bergetar) dan juling.
Dengan tahap penglihatan yang rendah, secara tidak langsung boleh mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak dari segi motiliti dan juga keupayaan mengenal objek dan warna.
Rawatan atau rehabilitasi/pemulihan semula penglihatan bagi kanak-kanak afakia perlu disegerakan sejurus selepas pembedahan katarak dilakukan.
Ini amat penting untuk mengelakkan penglihatan kanak-kanak tersebut terbiar tanpa ada sebarang pembetulan refraksi.
Pembetulan refraksi/pembiasan diperlukan selepas pembedahan katarak. Ini kerana kanta kristalin yang dikeluarkan semasa surgeri sebenarnya berfungsi sebagai salah satu media refraksi yang membawa kuasa anggaran sebanyak 20D.
Apabila kanta ini dikeluarkan semasa surgeri, mata akan kehilangan kuasa akomodasi (untuk melihat dekat) sebanyak 20D.
Oleh itu, kuasa refraksi tambahan perlu dipasang di luar mata (dengan memakai kanta sentuh ataupun cermin mata) ataupun kanta palsu (kanta intraokular) dimasukkan ke dalam mata kanak-kanak semasa surgeri.
Rawatan manakah menjadi pilihan?
Oleh kerana kuasa refraksi tambahan selalunya sangat tinggi – dalam lingkungan +17D hingga +32D, pemakaian cermin mata tidak digalakkan kerana kanta cermin mata yang sangat tebal akan menyebabkan ketidakselesaan pada bayi atau kanak-kanak kecil.
Cermin mata yang berat juga tidak dapat terletak baik di atas muka bayi yang selalu terbaring dan tidak dapat menegakkan kepalanya tanpa sokongan.
Cermin mata juga tidak sesuai untuk dipakaikan pada afakia unilateral kerana ia boleh menyebabkan persaingan dengan mata sebelah yang normal di mana, gabungan imej sukar berlaku antara mata baik yang melihat objek dengan terang, dengan mata afakia yang melihat objek dengan kabur.
Namun, ia adalah lebih sesuai pada kanak-kanak afakia bilateral kerana tiada persaingan persepsi penglihatan (kedua-dua mata melihat objek lebih kurang sama jelasnya).
Kanak-kanak yang sudah boleh menegakkan kepala dan berjalan mungkin boleh mengimbangi cermin mata berat di atas muka dengan lebih baik.
Kanta sentuh khas untuk bayi dan kanak- kanak sering kali menjadi pilihan.
Pemakaian kanta sentuh pada bayi bukan semata-mata untuk faktor kosmetik di mana bayi tersebut kelihatan lebih cantik tanpa cermin mata tebal.
Dalam kes terapeutik sebegini, ia akan lebih memanfaatkan bayi dari segi rehabilitasi penglihatan. Rehabilitasi penglihatan dengan pemakaian kanta sentuh adalah lebih baik dan cepat berbanding dengan cermin mata.
Ia boleh digunakan pada kes unilateral mahupun bilateral.
Pemakaian kanta sentuh bermakna kurang persaingan persepsi antara mata malah penyatuan objek menjadi lebih mudah dan adaptasi pemakaian kuasa yang tinggi adalah lebih senang.
Bayi memiliki diameter kornea di antara 8.5 hingga 10.5mm manakala orang dewasa mempunyai diameter kornea antara 10.5 hingga 12.5mm. Oleh itu kanta sentuh kanak-kanak biasanya berukuran antara 11.3 hingga 12.5mm (lebih besar sedikit dari kornea bayi).
Kecerunan mata bayi juga agak curam pada waktu kelahiran dan mulai mendatar dengan usia. Kelengkungan kanta sentuh bayi kurang dari setahun biasanya dalam julat 7.5 hingga 7.9mm.
Oleh kerana itu, kanta sentuh bayi adalah kanta sentuh khas yang ditempah mengikut parameternya tersendiri.
Pemakaian kanta sentuh bayi bukan sahaja dapat mengurangkan kesan magnifikasi tetapi dapat juga mengurangkan getaran mata (nistagmus) yang kebiasaannya hadir dengan keadaan ini.
Ini bermakna penglihatan adalah baik sedikit apabila getaran menjadi kurang dan pemfokusan bayi akan bertambah baik.
Tambahan pula, pada masa kini sudah wujud kanta sentuh dari jenis silikon yang dapat membenarkan kemasukan oksigen yang tinggi dalam mata.
Kanta jenis ini sahaja yang dapat dipakai secara berterusan sehingga 30 hari, namun adalah lebih baik sekiranya kanta ini dapat ditanggalkan seminggu sekali untuk dibersihkan dan dibasmi kuman.
Risiko infeksi/jangkitan dari pemakaian kanta sentuh tetap ada. Justeru, ibu bapa akan diajar cara memasang dan mengeluarkan kanta sentuh dan juga cara pencuciannya dengan betul.
Ibu bapa juga akan diajar untuk mengesan tanda-tanda awal infeksi bermula dan didedahkan dengan komplikasi pemakaian yang boleh berlaku sekiranya kanta sentuh tidak dijaga dengan baik.
Alternatif lain adalah dengan memasukkan kanta intraokular (kanta gantian palsu) dengan kaedah surgeri - bergantung kesesuaian keadaan okular kanak-kanak yang akan ditentukan oleh pakar oftalmologis.
Antara risikonya dengan kaedah ini adalah surgeri berulang apabila kanak-kanak mula membesar di mana kanta intraokular perlu digantikan ataupun surgeri ulangan disebabkan kanta berubah dari kedudukan asal.
Terapi penglihatan
Selepas rawatan pembetulan kuasa refraksi mata dilakukan, penglihatan tidak akan pulih sebegitu sahaja. Latihan atau terapi penglihatan perlu disusuli.
Terapi penglihatan berupa latihan penglihatan untuk merangsang semula penglihatan yang telah lama terbiar ataupun tidak dirangsang langsung sejak awal kelahiran.
Terapi penglihatan lebih banyak menumpu kepada aktiviti dekat kerana bayi atau kanak-kanak hanya mempunyai penglihatan dekat pada jarak tertentu pada usia satu hingga tiga tahun.
Latihan boleh merupakan latihan dengan menggunakan alat rangsangan CAM yang merupakan corak berbelang hitam putih yang dipusing di bawah satu plat lukisan, alat-alat mainan kecil yang dapat merangsang penglihatan dekat.
Botol susu dan boneka berwarna hitam putih tanpa warna terang adalah digalakkan.
Bayi juga digalakkan melihat poster rangsangan penglihatan yang ditampal di dinding pada paras mata dan bermain di atas permaidani atau alas mainan yang mempunyai corak hitam putih.
Semasa melakukan aktiviti di atas, kanak- kanak perlu menjalani sesi pengatupan mata berselang seli (jika afakia bilateral), pada setiap hari (maksimum empat jam sebelah mata) untuk meningkatkan intensiti penggunaan mata yang tidak dikatup.
Latihan sebegini boleh meningkatkan tahap penglihatan.
Mata afakia yang tidak dirangsang mungkin menjadi bertambah baik tetapi dengan kadar yang lambat (dengan tahap penglihatan yang tidak begitu baik) ataupun terus tidak dapat digunakan dengan baik oleh kerana tahap penglihatan yang terlampau rendah.
Mata sebegini biasanya boleh menjadi mata malas dan juling yang mungkin tidak dapat diperbaiki lagi jika dibiarkan sahaja untuk beberapa tahun.
Rawatan seawal mungkin ditekankan agar prognosis adalah lebih baik.
Jangan tunggu terlalu lama untuk melakukan surgeri katarak kerana mata yang lewat dirawat dan terapi yang lambat dijalankan boleh menyebabkan bayi mengalami masalah ambliopia yang teruk dan hasil rawatan mungkin tidak begitu memberangsangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment