Monday, October 02, 2006

Mood Ramadhan

salam
tetiba saje aku rasa nak update blog ni; teringin aku nak paste article dr Berita Harian dated 02/01/06; aku percaya ramai makpak di luar sana yg mengalami situasi ini; tak kurang kepada aku sendiri; anak sulung aku amir (6 thn) susah sungguh nak berpuasa penuh; musti puasa sekerat2..tak tahan dgn godaan anak kecik aku yg sengaja jerk tayang makanan best best kat abg amir;

Cara rangsang anak berpuasa
Oleh Azah Abdullah
Berita Harian online Isnin, 02/10/06


MELATIH anak berpuasa bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi menjadi tanggungjawab perlu dilaksanakan setiap ibu bapa. Bagaimana caranya? Ada pelbagai cara yang dicadangkan termasuk mendenda si kecil jika enggan berpuasa. Tetapi, wajarkah kanak-kanak dipaksa menahan lapar dan dahaga seharian pada usia sebegitu sedangkan mereka tidak memahami mengapa perlu berpuasa?

Hakikatnya bukan saja ibu bapa gembira menyambut kedatangan Ramadan, tetapi kanak-kanak juga menanti bulan yang penuh bermakna itu. Justeru, setiap ibu bapa digalakkan mendidik anak berpuasa dengan cara menyeronokkan dan bukannya dengan memaksa atau memukul mereka supaya berpuasa. Malah, bagi memudahkan kanak-kanak berpuasa sambil menghadapi pelbagai dugaan di persekitarannya, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan teladan kepada anak mereka.

Beberapa ibu yang ditemui mengakui si kecil lebih mudah meneruskan ibadat berpuasa sepanjang Ramadan sekiranya ibu bapa sentiasa memberikan sokongan kepada mereka. Selain kata galakan, ada ibu bapa menjanjikan sesuatu yang berharga sebagai hadiah kecemerlangan jika anak mereka berjaya meneruskan puasanya.

Asma Ismail, 56, berkata lazimnya strategi itu diamalkan bagi membantu kanak-kanak yang pertama kali berpuasa kerana dengan menjanjikan sesuatu yang dikehendaki mungkin boleh memujuknya berpuasa pada bulan yang mulia ini.

“Anak perlu dididik berpuasa sedari kecil lagi dan berdasarkan pengalaman melatih lapan anak berpuasa pada Ramadan, saya akui banyak menguji kesabaran seorang ibu untuk melayan kerenah anak. Juadah berbuka puasa boleh menarik perhatian anak kecil berpuasa sepanjang hari pada bulan ini, apa tidaknya setelah seharian penat berpuasa mereka akan gembira jika dihidangkan dengan makanan kesukaan mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, mengejutkan anak untuk bersahur juga dapat mendorongnya si kecil berpuasa sepanjang hari. Dengan melihat ibu bapa, abang atau kakaknya bersahur, akan timbul rasa seronok apabila dapat berkumpul serta makan bersama keluarganya, sekali gus dapat memupuk keyakinan untuk berpuasa pada hari berkenaan.

Pendapat Asma disokong Zarina Mohd Abdul Aziz, 39. Beliau mengakui anak kecil sukar untuk menahan lapar dahaga bagi jangka masa yang panjang, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai dugaan di sekitarnya termasuk kehadiran adik yang masih kecil.

Sebaiknya, had umur terbaik bagi melatih kanak-kanak mula berpuasa ialah pada usia lima tahun. Tetapi, jika anda mempunyai seorang (atau lebih) anak yang lebih kecil, sudah tentu si adik tidak diwajibkan berpuasa. Ini boleh menyebabkan anak yang sedang dilatih itu terpengaruh apabila melihat adiknya makan atau minum.

Tetapi, Zarina berkata, berdasarkan pengalamannya cara memaksa si kecil berpuasa bukan cara terbaik melatih anak berpuasa kerana mereka akan melakukannya hanya kerana terpaksa dan bukan dengan rela hati, sekali gus menyukarkan mereka meneruskan amalan mulia itu pada masa akan datang.

“Cara terbaik ialah melatih anak berpuasa separuh hari dulu. Keesokan, panjangkan lagi waktu. Jika semalam berpuasa sehingga jam 12 tengah hari, hari ini 1 petang. begitulah seterusnya sehingga dia berjaya puasa penuh. Ini dapat mengelakkan mereka daripada rasa dipaksa dan galakan boleh memberikan semangat kepada mereka serta menyemaikan rasa seronok berpuasa,” katanya.

Emylia Ayob juga berpendapat anak kecil memerlukan masa bersama sepanjang bulan ini. Sebagai pengisian masa menunggu waktu untuk berbuka puasa, ibu perlu mendidiknya dengan menyemaikan contoh teladan yang baik dalam diri mereka.

"Anak yang masih kecil perlu disemai jiwanya dengan contoh teladan yang baik. Masa perlu dibahagikan untuk mereka dan sementara menunggu waktu berbuka puasa, biasanya saya akan membacakan mereka kisah atau cerita contoh teladan daripada anbia serta pedoman berkaitan ramadan agar mereka dapat menghayati erti sebenar berpuasa dan menunaikan ibadat pada bulan ini.

"Anak kecil sebenarnya mudah untuk dididik berpuasa. Sebaiknya sediakan pelbagai program untuk mereka lakukan bagi mengisi masa terluang supaya tidak begitu terasa masa berlalu,” katanya.

Paling penting, jangan lupa melatih anak niat berpuasa. Cara itu, secara tidak langsung akan sebahagian daripada melatih mereka berpuasa pada bulan yang mulia ini.

Bagaimanapun, paling utama yang sering dilupakan kebanyakan ibu bapa ialah kedatangan Ramadan adalah waktu terbaik untuk mendisiplinkan anak kerana berpuasa pada bulan ini banyak melatih anak bersabar dan berdisiplin.

FAKTA: Panduan melatih anak berpuasa


Berbuka bersama keluarga di rumah. Hidangkan makanan yang digemari anak anda. Ini menimbulkan keseronokan.


Selepas berbuka, amalkan niat berpuasa bersama keluarga. Anak kecil akan berasa lebih seronok.


Kejut anak anda untuk bersahur. Bangun pagi untuk menikmati makanan adalah sesuatu yang baru bagi kebanyakan kanak-kanak.


Jangan biarkan si kecil begitu aktif termasuk bermain kerana ini mungkin boleh memenatkan mereka.


Pastikan jika anda mempunyai anak kecil berusia empat tahun atau kurang, jangan biarkan mereka makan di hadapan anak yang sedang berpuasa.


Kurangkan menonton televisyen kerana ada banyak iklan makanan yang mungkin boleh ‘menggugat’ si kecil.


Latih sedikit demi sedikit. Jika hari pertama anak anda berjaya menahan lapar dan dahaga separuh hari, keesokannya cuba panjangkan tempoh berpuasa sehingga 1 petang. Begitulah seterusnya sehingga anak anda berjaya puasa penuh.

No comments: