Thursday, December 08, 2005

terlebihh rajinnn

hari ni bunga nak copy paste sumer correspondences from harddisk ..
kat opis bunga ni satu PC is not monopoly by one staff aje...my workstation nih panas...
almaklum le keje shift 24 x7....ada hari yg bunga off/rest sesiapa pun bleh menenggek kat ws bunga...

here it goes...

7 Tips Penting Untuk Isteri Bermasalah

“Suatu pagi, dalam rancangan kaunseling keluarga, di salah sebuah rangkaian radio: Ustaz.... Sudah bermacam cara yang saya buat. Tapi, hati dia masih tak tergerak lagi nak sembahyang. Kadang-kadang tu saya beli kaset dan buku, semata-mata nak ajak dia sembahyang bersama. Saya ni teringin sangat nak berjemaah dengan suami, macam kawan-kawan saya yang lain...” Kes seperti yang disingkap tadi hanyalah salah satu daripada ribuan cebisan dan rempah ratus kehidupan manusia hari ini. Kisah yang benar-benar terjadi, yang perlu kita singkap segala hikmahnya. Sudah menjadi fitrah manusia mahukan kebaikan dan kasih sayang. Namun begitu terdapat juga segelintir wanita yang bergelar isteri tidak dapat mengecap nikmat bahagia di samping suaminya. Ramai wanita yang merintih dan mengadu sikap suami yang ingkar dengan perintah Allah dan sering melakukan perkara di luar batasan agama. Bukan itu sahaja, malah ramai isteri yang buntu lantaran menjadi mangsa keadaan. Ada antara isteri yang dimaki hamun dan dipukul hanya kerana memujuk suaminya agar taat kepada Allah. Adakah kita boleh menyalahkan takdir yang menjadikan wanita itu insan yang lemah sehingga mereka menerima nasib sedemikian rupa? Sama sekali tidak. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengupas permasalahan ini berpandukan syariat dan menghakiminya dengan adil. Islam ada menyediakan garis panduan untuk umatnya yang menghadapi masalah sebegini. Masalah suami yang sudah hilang pedoman dan tersasar pegangan hidupnya. Bagaimanakah kita sebagai isteri mampu menyelesaikan masalah yang sebegini rumit? Berikut adalah beberapa tips dan panduan yang boleh kita ikuti dalam menangani masalah tersebut:

PERTAMA: INSAFI DIRI
Dalam hendak menegur suami, jangan sekali-kali merasa diri sudah baik atau lebih baik daripada suami. Walaupun kita sudah boleh bersembahyang dan mengerjakan perintah Allah, tapi cubalah renungi diri kita kembali. Adakah selama ini kita begitu ikhlas dalam beribadah kepada Allah? Apakah ibadah kita sudah sempurna dan diterima Allah? Mungkin juga selama ini, kita banyak melakukan perkara yang boleh merosakkan ibadah contohnya mengumpat dan mencela. Kalau kita sentiasa mengenang kelemahan dan kekurangan diri, tentu kita tidak akan memandang hina kepada suami sehingga apabila kita menegurnya, teguran itu penuh dengan kelembutan dan hikmah. Suami tidak merasa `sakit' atau terhina dengan teguran itu.


KEDUA: BANYAKKAN BERSABAR
Kita juga seharusnya menerimanya sebagai satu dugaan daripada Allah. Allah mahu melatih dan mendidik hati kita agar sabar dalam kehidupan serta matang mengendalikan masalah. Jangan kita terlalu gopoh serta hendakkan hasil yang cepat sehingga cara kita menegur pun seolah-olah mendesak serta mengajar suami.


KETIGA: BAIKI DIRI SENDIRI
Sentiasalah membaiki diri serta menghias diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, redha, berpada-pada dengan apa yang ada dan lain-lain. Akhlak yang baik akan menambat hati suami lantas dia akan mudah mendengar nasihat yang kita berikan.


KEEMPAT: MELAYANINYA DENGAN BAIK
Walaupun derita yang dirasa, namun tugas sebagai isteri tidak boleh diabaikan. Kita wajib menghormati, melayani serta memuliakan suami. Dosa yang dilakukan oleh suami adalah urusannya dengan Allah. Ia tidak menggugurkan kewajipan kita terhadapnya. Justeru kalau kita pun tidak mahu melayaninya, konon sebagai protes terhadap keingkarannya itu, maka kita juga bersalah dan berdosa. Tentu suami akan berang, sudahlah kita tidak menunaikan tugas sebagai isteri, pandai-pandai pula hendak menegurnya. Sampai bila pun dia tidak akan mendengar nasihat kita.


KELIMA: MENEGUR DAN MEMUJUK DENGAN BERHIKMAH
Air yang menitik perlahan, mampu melekukkan batu yang pejal. Begitulah, perumpamaan yang begitu sesuai untuk kita. Walaupun kita begitu sukar untuk menyedarkan suami kita, tetapi usaha itu perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan berterusan. Dengan usaha yang sebegini, insya-Allah ia akan membuahkan hasil yang lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, apabila suami kita jarang bersembahyang, maka biarlah kita yang menggantikan peranannya. Kita sendiri boleh menjadi imam kepada anak anak kita ataupun membaca al-Quran bersama-sama mereka selepas menunaikan solat berjemaah. Secara tidak langsung, apabila seorang ayah melihat isteri dan anak-anaknya ikhlas beribadah kepada Allah, setidak-tidaknya dia akan berubah sedikit demi sedikit. Selain itu, kita boleh membeli beberapa kaset, video panduan dan buku-buku agama yang berkisar tentang cara perlaksanaan solat dan ibadah-ibadah lain. Hadiahkanlah kepadanya pada hari istimewa seperti hari kelahirannya atau hari ulang tahun perkahwinan. Kita juga boleh menulis surat sebagai bicara hati dengan menggunakan bahasa yang baik dan berhikmah. Semoga hatinya akan dapat menerima hidayah Allah di akhir nanti.


KEENAM: MEMINTA BANTUAN PIHAK KETIGA
Kebiasaannya, seseorang suami itu mempunyai rasa ego apabila kesalahannya ditegur oleh si isteri. Perkara ini mungkin membawa kepada perselisihan faham dan membawa perpecahan dalam keluarga. Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya kita meminta bantuan daripada pihak ketiga untuk menasihati suami. Mereka yang kita pilih mestilah dihormati juga oleh suami. Melalui mereka bolehlah kita mencurah rasa hati dan mengajak suami agar taat kepada Allah serta meninggalkan perkara yang dimurkai-Nya. Mungkin mereka terdiri daripada ahli keluarganya, jiran, teman, ayah bondanya ataupun orang yang baik pengamalan agamanya. Semoga dengan nasihat daripada orang yang lebih dihormatinya itu akan memberi kesan yang mendalam di hatinya. Umpama tanah di lembah, ia akan subur apabila air hujan menyiraminya.


KETUJUH: BERDOA DAN TAWAKAL KEPADA ALLAH
Sebagai seorang mukmin, setiap perkara yang kita usahakan perlulah disertai dengan tawakal. Kita sewajarnya berdoa kepada Allah, agar dia melimpahkan hidayah kepada keluarga kita lebih-lebih lagi kepada suami. Doakanlah juga semoga kita terus kekal hidup di landasan Islam yang sebenar. Semoga dengan doa yang berterusan, ia akan diperkenankan oleh Allah. Sesungguhnya, Allah tidak mempersia-siakan segala usaha dan doa hamba-Nya yang beriman. Allah ada berfirman: "Berdoalah kepada Aku, akan Kuperkenankan permintaan itu." Masalah yang kusut akan terlerai jika kena gaya dan caranya. Apabila kita merasakan suami kita jauh daripada hidayah, maka kitalah yang berperanan besar untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar. Walaupun mereka telah tersasar jauh dari landasan syariat, usahlah kita berburuk sangka serta memandang rendah kepada mereka. Apatah lagi untuk putus harapan dengan Allah!

wasalam

No comments: